Hari ini hari pertama jemaah haji Malaysia pulang ke tanahair. Tahniah saya ucapkan kerana berjaya menjawab panggilan Allah Taala ke bumi Mekah untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima ini. Moga-moga tahun mendatang ini giliran saya pula, Insya-Allah.
Selepas hari raya tempoh hari, saya lihat banyak gambar-gambar korban diambil dan dipaparkan di kebanyakan blog-blog. Saya juga kepingin menangkap gambar ibadah korban namun tidak kesampaian, salah perhitungan. Pulang ke Batu Pahat selepas solat Jumaat dan kebanyakan surau di sekeliling rumah saya menjalankan ibadah korban pada hari Sabtu maka saya sangkakan di kampung isteri saya begitu juga rupanya tidak maka melepaslah saya untuk merakamkan detik-detik ibadah korban itu dijalankan.
Apapun, saya masih sempat merakam beberapa gambar. Gambar yang saya paparkan kini saya namakan "Nasib Jawi" mengenangkan tulisan jawi semakin terpinggir dalam kehidupan kita. Soalan mudah saya, bilakah kali terakhir tuan atau puan membaca atau menulis jawi?
Tulisan jawi kini semakin terpinggir di bumi sendiri semenjak huruf roman diperkenalkan untuk menggantikannya selaras dengan perkembangan teknologi dan juga pengaruh Inggeris terhadap orang Melayu-Islam.
Kini amnya tulisan jawi terhad penggunaannya di kalangan mereka yang berada di dalam institusi agama Islam seperti para ulamak, guru-guru agama dan pegawai tadbir jabatan agama Islam. Malahan, penerbitan Utusan Zaman seminggu sekali dan hanya menjadi sisipan Utusan Malaysia menandakan merudumnya penggunaan tulisan jawi.
Gambar ini diambil di Masjid Jamek Parit Bulat, Muar, Johor.
Ngilu dan lucu. Dua perkataan ini sahajalah yang dapat saya berikan untuk menggambarkan perasaan saya ketika mengambil gambar seorang kanak-kanak yang bersunat di sebuah hospital pagi tadi.
Ngilu kerana teringatkan kenangan 21 tahun lalu ketika saya sendiri mengalami pengalaman bersunat itu. Lucu kerana sepanjang operasi sunat tersebut kami yang dewasa (doktor, pembantunya, ayah kanak-kanak tersebut dan saya sendiri) sama-sama mengimbau kenangan masing-masing di samping telatah kanak-kanak tersebut.
Namun begitu, perkara penting yang saya pelajari daripada tugasan ini adalah betapa pentingnya mewujudkan suasana yang mesra dengan semua orang yang berada di sekeliling ketika tugasan tersebut. Dengan kemesraan tersebutlah maka detik dan emosi mereka dapat dirakamkan dengan baik dan yang paling penting emosi itu lahir daripada hati yang ikhlas.
Ini sahaja gambar yang dapat saya kongsikan bersama kerana menghormati hak persendirian tuan punya gambar ini. Tidak semua gambar dapat kita kongsikan kerana mengambil kira nilai sensitivity tuan punya gambar dan masyarakat.
Kira-kiranya saya baru sahaja aktif berfotografi ini kurang setahun selepas membeli satu set kamera D70s second hand daripada seorang kenalan, Torque ketika bulan puasa tahun lalu. Berbekalkan dengan kamera inilah saya mula belajar fotografi digital, perisian mengedit gambar dan sebagainya. Ketika itu jari-jemari ini tidak berhenti-henti menekan butang kamera di mana objek utamanya adalah anak-anak saya dan jumlahnya tidak terperi banyaknya. Namun begitu, lama-kelamaan saya mula mencari ilmu baru dalam fotografi lantaran berasa penat melihat gambar-gambar yang sama sahaja daripada segi gaya, identiti serta kelihatan mendatar sahaja.
Selepas hadir dalam beberapa sesi bengkel fotografi, sesi teh tarik dan pembacaan serta pengamatan saya di dalam internet berkenaan dengan fotografi satu perkara paling penting dalam mendapatkan gambar-gambar yang baik, unik dan bermakna maka seseorang jurugambar itu seharusnya merancang apakah gambar yang ingin diambil. Contoh-contoh persoalan seperti apakah subjek yang ingin diambil, apakah penceritaan yang ada si sebalik gambar itu, komposisi yang sesuai juga sumber pencahayaan harus dijawab sebelum mengambil sesuatu gambar. Seperti kata Shamsarin, seorang jurumgambar editorial "Apabila anda merancang sesuatu gambar maka anda akan mendapat gambar yang lebih baik daripada apa yang telah dirancang itu." Ada pelbagai tips diberikan dalam membuat perancangan ini seperti cukup membayangkan ia di minda kita hinggalah kepada melakarnya dahulu di atas kertas!
Jika dahulu saya ghairah menyebut kamera dan aksesorinya kini apabila ditanya kamera apa yang perlu dibeli untuk mendapatkan foto yang menarik saya akan membalasnya dengan "Gunalah apa sahaja kamera yang ada asalkan kamu merancangnya terlebih dahulu, bila sudah bersedia barulah fikirkan kamera DSLR apakah yang ingin dibeli."
"1976 is my born year. 1976 is also a year where Tun Hussein Onn was appointed as 3rd Malaysian Prime Minister. He is also known as 'Bapa Perpaduan' or The Father of Unity for his effort towards unity among Malaysian.
This photo was taken at New Millennium Monument in Putrajaya, Malaysia."
Gambar isteri dan anak saya ini saya ambil secara spontan tanpa sebarang perancangan awal. Namun, sebelum memetik butang saya sudah membayangkan bentuk gambar yang akan dihasilkan, Alhamdulillah, pembingkaian dan aplikasi Rule of Third menjadi.
Our parents were still kids in 1983. 1983 was a year where Malaysian 1st national car was introduced i.e. Proton. It was also a year where Bank Islam was established in introducing Islamic financial.
This photo was taken at New Millennium Monument in Putrajaya, Malaysia.
Gambar ini pula dari segi komposisi agak lemah kerana latarbelakangnya terpotong. Kerana ingin cepat kerana gambar ini diambil ketika saya meniarap dan ada dua tiga orang sedang tertunggu-tunggu untuk lalu. Apatah lagi anak kedua saya itu pun sudah tidak boleh menunggu lagi, antara cabaran mengambil gambar kanak-kanak. Apapun inilah 'pose' terbaik yang mereka berdua berikan kepada saya sepanjang petang itu.
Disclaimer(saya masih belum dapat istilah Bahasa Melayunya) Sunardi @ Abahfateh masih baru dalam bidang fotografi. Tulisannya di sini semata-mata sebagai satu cara untuk memperkukuhkan pengetahuannya dalam bidang fotografi. Sekiranya ada 'otai-otai' yang ingin memberi input juga sebarang komen adalah dialu-alukan.
Ke Makam Bonda Kami mengunjungi pusara bonda Sunyi pagi disinari suria Wangi berseri puspa kemboja Menyambut kami mewakili bonda Tegak kami di makam sepi Lalang-lalang tinggi berdiri Dua nisan terkapar mati Hanya papan dimakan bumi Dalam kenangan kami melihat Mesra kasih bonda menatap Sedang lena dalam rahap Dua tangan kaku berdakap Bibir bonda bersih lesu Pernah dulu mengucupi dahiku Kini kurasakan kasihnya lagi Meski jauh dibatasi bumi Nisan batu kami tegakkan Tiada lagi lalang memanjang Ada doa kami pohonkan Air mawar kami siramkan Senyum kemboja menghantar kami Meninggalkan makam sepi sendiri Damailah bonda dalam pengabdian Insan kerdil mengadap Tuhan Begitu bakti kami berikan Tiada sama bonda melahirkan Kasih bonda tiada sempadan Kemuncak murni kemuliaan insan Oleh Sasterawan Negara Usman Awang (1955)
Mohd Naufal Hadi, 7 tahun sedang dalam proses pemulihan selepas pembedahan penyakit radang usus buntu (acute appendicities). Antara tanda-tanda awal penyakit ini adalah demam panas, loya-loya dan muntah, rasa pedih atau sakit di bahagian perut kanan bawah apabila dipicit, membongkok atau berjalan.Kemajuan dalam sains kesihatan telah menyelamatkan ramai pesakit dan proses pembedahan juga menjadi semakin mudah dan selamat.
Apabila sakit, bersyukurlah kerana sekurang-kurangnya Allah masih sayangkan kita dan sakit itu adalah 'cubit-cubit' sayang Allah kepada kita yang mungkin lalai untuk menyayangiNya. Maka janganlah kita merungut-rungut apabila sakit baik pesakit atau orang yang menjaganya juga merawatnya kerana itu semua adalah ujian. Semoga Allah memberikan keampunan yang bukan sedikit kepada pesakit dan mereka di sekelilingnya yang mengambil berat kepada kebajikan pesakit tersebut.
“Tidaklah orang Muslim ditimpa cubaan berupa penyakit atau lainnya, melainkan Allah menggugurkan keburukannya, sebagaimana pohon yang menggugurkan daunnya.” (HR. Bukhari-Muslim)
Kisah 1 : Selamat Hari Raya Eidulfitri 1430 Hijrah, Maaf Zahir dan Batin.
Jika di Negara Arab ucapan saya ini mungkin sudah tidak laku lagi namun memandangkan masyarakat Malaysia beraya selama sebulan maka saya kira masih belum terlewat saya melontarkan ucapan selamat ini. Terima kasih kepada saudara mara dan rakan-rakan yang menghantar ucapan selamat hari raya kepada kami sekeluarga melalui SMS terutamanya. Tidak terbalas saya segala ucapan tersebut (memang tidak pernah membalasnya pun. Hehehe)
Jika ada salah dan silap sepanjang penulisan saya di dalam entri-entri sebelum ini saya pohon kemaafan kerana mungkin ketika itu saya menulis mengikut hati bukan akal yang dikurniakan Allah.
Ikhlas daripada saya, Sunardi Maulan Azlina Ngatdene Muhammad Fateh Muhammad Faiq Fildzah Miza
Kisah 2 : Faiq Kemalangan di Hari Raya Pertama
Pada hari raya pertama ketika kami sedang bersiap-siap di rumah makcik saya di Hulu Langat untuk pulang ke kampung isteri saya di Johor anak saya, Faiq, jatuh di bilik air dan bahagian belakang kepalanya terhentak di bucu bilik air. Bunyi jatuhnya dapat saya dengar dengan jelasnya dari ruang hadapan rumah makcik saya itu. Jeritan dan tangisan anak saya itu pula dapat didengari sehingga rumah pakcik saya yang terletak kurang 50 meter. Kalut juga saya melihat darah yang mengalir keluar dengan banyaknya, kredit kepada isteri saya yang tenang menangani keadaan. Dari Batu 18 1/2 , Hulu Langat sehingga ke Kajang puas kami mencari klinik untuk pemeriksaan lanjut namun semua klinik termasuklah yang tertulis Klinik 24 jam tutup. Akhirnya kami ke Unit Kecemasan sebuah hospital swasta di Kajang. Alhamdulillah layanan dan rawatan yang diberikan sangat cekap apatah lagi untuk menangani kerenah Faiq yang tidak mahu diapa-apakan itu. Daripada maklumat yang kakitangan Unit Kecemasan tersebut berikan, sebelum kami sudah ada beberapa kes serupa yang mereka terima. Mungkin kerana terlampau seronok atau terlampau letih yang menyebabkan ibu bapa alpa dan terlepas pandang dalam menjaga anak-anak mereka. Sehingga hari ini, Alhamdulillah keadaan Faiq baik dan luka di kepalanya sudah beransur pulih.Rancangan kami untuk pulang ke Johor pada hari raya pertama tertangguh ke keesokan harinya. Saya ingin berkongsi sedikit tips untuk berhadapan dengan kes-kes sebegini kerana malang tidak berbau.
Rawatan Rawatan yang diperlukan bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan. Jika kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan kecil misalnya calar dan terseliuh, tekap kawasan cedera dengan air batu. Berikan anak anda ubat air penahan sakit (paracetamol) untuk mengurangkan kesakitan. Rehatkan kawasan cedera.
Jika anak anda mendapat luka, cuci dengan air, tekap kawasan cedera dengan ibu jari untuk beberapa minit untuk memberhentikan darah mengalir dan rehatkan. Balut dengan kain bersih.
Jika anda mengesyaki tulang anak anda patah, balutkan dengan selimut, kain yang tebal atau bantal untuk menghalang pergerakkan. Gunakan kain untuk menggantung tulang yang patah pada anggota badan yang atas.
Periksa kawasan balutan untuk pastikan pergerakan darah yang normal. Jika kulit menjadi sejuk atau berubah warna, longgarkan balutan.
Jika anda mengesyaki anak anda cedera serius, sila dapatkan bantuan doktor.
Tidak banyak kisah menarik yang dapat saya kongsikan. Setakat cerita ziarah rumah saudara mara tidak perlulah. Cerita jalanraya yang sesak terutamanya di pekan-pekan kecil pun tidak perlulah, itu sudah menjadi topik utama di atas meja hidangan.
Saya bersyukur kerana Malaysia aman di hari raya ini. Saya bersyukur kerana keluarga saya masih dapat menyambut hari raya dalam kesederhanaan. Saya bersyukur kerana dapat menziarahi kubur kedua ibu bapa dan ibu mertua saya. Saya bersyukur di sebalik episod malang yang berlaku mungkin ada hikmah yang tersembunyi.Saya bersyukur anak-anak saya dapat duit raya dan saya dapat bagi duit raya. Saya bersyukur dapat melihat anak-anak saya gembira berhari raya. Saya bersyukur kerana dapat menyambut hari raya bersama isteri tersayang. Saya bersyukur umat Islam di seluruh dunia dapat beraya walaupun ada yang menghadapi kesukaran seperti saudara kita di Palestin. Saya bersyukur kerana untuk tahun ketiga berturut-turut saya tidak kena penyakit hari raya. ;) Saya bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang Allah telah berikan kepada saya walaupun saya berada dalam kelalaian.
Alhamdulillah, Segala Puji kepadaMu Allah, Tuhan Sekalian Alam.
Anda pernah mencuba menyelesaikan permainan rubik? Saya secara peribadi tidak pernah dapat menyelesaikannya, rekod terbaik saya adalah dua permukaan sahaja. Menurut Wikipedia, pengenalannya kepada rubik adalah seperti berikut;
"The Rubik's Cube is a 3-Dmechanical puzzle invented in 1974by Hungariansculptor and professor of architectureErnő Rubik. Originally called the "Magic Cube", the puzzle was licensed by Rubik to be sold by Ideal Toys in 1980 and won the German Game of the Year special award for Best Puzzle that year. As of January 2009, 350 million cubes have sold worldwidemaking it the world's top-selling puzzle game. It is widely considered to be the world's best-selling toy.
In a classic Rubik's Cube, each of the six faces is covered by 9 stickers, among six solid colours (traditionally white, red, blue, orange, green, and yellow).A pivot mechanism enables each face to turn independently, thus mixing up the colours. For the puzzle to be solved, each face must be a solid colour. Similar puzzles have now been produced with various numbers of stickers, not all of them by Rubik. The original 3×3×3 version celebrated its twenty-fifth anniversary in 2005."
Gambar di atas, adalah Adik Muhammad Hafz Hadi, 14 tahun yang merupakan pakar rubik dalam keluarga saya. Beliau adalah anak kepada abang sulung saya dan kini sedang menuntut di sebuah Sekolah Menengah Agama di daerah Hulu Langat.
Saya menyedari beliau mula bermain rubik enam bulan yang lalu. Rekodnya adalah seperti berikut:
Rubik 2x2x2 = 17 saat Rubik 3x3x3 = 25 saat Rubik 4x4x4 = 37 saat Rubik 5x5x5 = 15 minit
Rubik yang dipegangnya adalah rubik 5x5x5 dan ketika gambar ini diambil beliau baru sahaja menghabiskannya sambil matanya leka menonton televisyen. Itulah kebolehannya dan saya harap apa yang beliau ada dapat melatih dan menajamkan lagi fikiran dan daya intelektualnya.
Rekod dunia kini dipegang oleh Erik Akkersdik dari Belanda yang berjaya menyelesaikan rubik 3x3x3 dalam masa 7.08 saat pada Terbuka Chez 2008. Pembaca sekalian boleh menyaksikannya di capaian ini.